Mar 31, 2026 8PM
BNM perhebat pengantaraan berasaskan nilai, dorong kemajuan kewangan Islam tahun ini
Bank Negara Malaysia (BNM) komited untuk memperkukuh strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang menekankan aspek kelestarian dan iklim dalam sistem kewangan Islam tahun ini.
Menurut bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2025 yang dikeluarkan hari ini, BNM turut memberi fokus kepada usaha memperkasa inovasi berimpak tinggi dalam persekitaran yang kondusif, sekali gus membuka ruang kepada potensi ekonomi melalui pembangunan sektor halal dan jaringan global.
“Berpandukan kepimpinan dan kerjasama strategik, BNM terus komited memajukan ekosistem kewangan Islam Malaysia bagi memastikan evolusi yang progresif serta memberi manfaat jangka panjang kepada semua,” katanya.
Menurut BNM, fokus usaha bagi tahun 2025 akan digerakkan melalui tiga teras strategik utama, iaitu memperkasa inovasi berteraskan nilai, mengukuhkan ekosistem kewangan Islam, serta memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam bidang tersebut.
Di bawah Teras 1, BNM menjelaskan kewangan Islam berpaksikan objektif Maqasid Syariah yang menekankan nilai keadilan, pengagihan kekayaan secara saksama serta tanggungjawab bersama.

Sehubungan itu, pendekatan VBI dijadikan teras utama dalam merealisasikan nilai-nilai berkenaan dalam amalan kewangan.
"Bagi institusi kewangan Islam, pendekatan ini bermaksud menjalankan operasi yang bukan sahaja menjana keuntungan, malah mewujudkan impak positif yang berkekalan kepada masyarakat.
"Pada 2024, institusi kewangan Islam (IKI) telah menyalurkan RM148.6 bilion bagi aktiviti kewangan yang sejajar dengan VBI, termasuk pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembiayaan hijau serta kewangan sosial," menurut BNM.
Dalam usaha memperkukuh impak strategik, BNM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merangsang inovasi berimpak tinggi sejajar dengan keutamaan nasional.
Antara inisiatif utama termasuklah program penghijauan perniagaan halal yang memperkasakan PKS halal dalam mengaplikasikan amalan kelestarian melalui geran bernilai RM15 juta; dana perkongsian risiko i-CITA yang mempromosikan penggunaan instrumen perkongsian risiko oleh bank Islam dengan pembiayaan sebanyak RM100 juta; serta perlindungan iTEKAD, yang bertujuan meningkatkan daya tahan kewangan usahawan mikro melalui geran RM5 juta.
Di bawah Teras 2, BNM mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap ekosistem bagi menyokong pertumbuhan kewangan Islam yang progresif dan inklusif.
Pendekatan itu merangkumi penciptaan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif, pendalaman pasaran kewangan Islam, serta peneguhan kepastian Syariah dalam amalan kewangan Islam.
BNM terus mempergiat usaha memperkukuh ekosistem Syariah masa hadapan melalui penyelidikan, pembangunan bakat serta peningkatan literasi masyarakat terhadap kewangan Islam.
Di bawah Teras 3, bank pusat meneruskan usaha memperkukuh kepimpinan Malaysia sebagai peneraju global berwawasan dalam kewangan Islam.
"Usaha ini disokong oleh ekosistem yang kukuh dan kemajuan pasaran yang mampan. Keutamaan BNM pada 2025 termasuk memperkukuh jalinan perniagaan, menggalakkan pengiktirafan bersama dalam Syariah, memacu inovasi serta membina keupayaan global.
"Melalui inisiatif ini, Malaysia menyasarkan pembinaan ekosistem kewangan Islam global yang lebih saling terhubung dan progresif," katanya.
Menurut BNM, pada 2025, kewangan Islam terus mengukuhkan kedudukannya apabila pembiayaan Islam merangkumi 48 peratus daripada keseluruhan pembiayaan, manakala penembusan takaful mencapai 24.5 peratus.
"Pertumbuhan ini mencerminkan keupayaan kewangan Islam untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah serta PKS yang sentiasa berubah," menurutnya.
Waktu Solat


01 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:55













